OGOS 2024

Hubungan Diplomatik Sarawak, Brunei Diperkukuh Menerusi Pelbagai Bidang


KUCHING: Hubungan diplomatik Sarawak dan Brunei akan terus diperkukuh melalui kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk telekomunikasi, pertanian, pelancongan dan tenaga elektrik.

Usaha itu dizahirkan menerusi delegasi Kerajaan Sarawak yang diketuai Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 Malaysia dan Brunei, di Brunei baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut menyaksikan rombongan Kerajaan Malaysia diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, nilai perdagangan antara Sarawak dan Brunei yang direkod pada tahun lalu ialah RM3.76 bilion, meningkat 23.8 peratus berbanding RM3.02 bilion pada 2022.

Turut hadir pada pertemuan tersebut ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji  Noor.